PENGURUSAN DAKWAH
Menerusi definisi dan
konsep pengurusan dakwah yang dikemukakan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa
pengurusan dakwah di zaman Rasulullah dilihat sebagai medan terbaik untuk
dijadikan contoh dan landasan utama dalam meneliti dan menilai tentang definisi
pengurusan dakwah tersebut. Dalam konteks yang lebih luas lagi, pengurusan
dakwah ini jika diaplikasikan dalam pengurusan dan pentadbiran intitusi dakwah,
seharusnya ia mempunyai elemen-elemen utama dalam pengurusan agar usaha dan
gerak kerja dakwah tersebut akan terancang seterusnya dapat mencapai matlamat
dakwah itu sendiri.
Dalam meneliti pengertian
pengurusan dakwah ini, perlu dijelaskan bahawa pengurusan ini mempunyai
beberapa perkara utama yang perlu diberi perhatian dengan melihat kepada
pengurusan dakwah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah. Pengurusan dakwah
yang berlaku pada zaman Rasulullah telah melalui dua zaman yang berlainan
sebagaimana yang termaktub dalam sejarah Islam. Zaman pertama ialah pada zaman
Mekkah dan zaman kedua pula ialah zaman Madinah yang mana ia sebagai bukti
kepada wujudnya unsur perancangan dalam dakwah. Lebih jelas lagi, perancangan dakwah
ini telah melalui lima fasa perkembangan dakwah tersebut iaitu;-
i. Fasa berdakwah dan
bergerak secara sulit / rahsia
ii. Fasa berdakwah secara
terbuka tetapi berorganisasi secara rahsia.
iii. Fasa menubuhkan
kerajaan Islam.
iv. Fasa memantapkan
pemangkin kerajaan Islam.
v. Fasa untuk
memperkasakan dakwah ke seluruh pelusuk dunia.
Fasa-fasa tersebut telah
memperlihatkan bahawa pada zaman Rasulullah sudah wujud unsur pengurusan dakwah
apabila baginda telah menyusun langkahlangkah dengan mewujudkan fasa-fasa
dakwah tersebut.
DAKWAH RASULULLAH S.A.W SEBELUM DAN SELEPAS HIJRAH
Ada dua tahap dakwah yang
dilakukan Muhammad. Pertama, dakwah secara diam-diam selama 3 tahun. Keluarga
dan sahabat Nabi yang masuk Islam pada tahap ini antara lain Khadijah, Abu
Bakar as-Siddiq, dan Ali bin Abi Talib. Kedua, dakwah secara terang-terangan,
yang dilakukan Nabi setelah turun perintah Allah (Q.15:94). Dakwah ini
berlangsung hingga Nabi wafat. Banyak sahabat yang memeluk Islam pada masa ini,
antara lain Umar bin Khattab dan Usman bin Affan.
Manhaj-manhaj
dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah bertujuan untuk membina keyakinan dengan
apa yang akan baginda sampaikan. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul utusan
Allah (SWT) yang akan membawa masyarakat Madinah ke jalan yang benar melalui
pendekatan-pendekatan seperti yang dinyatakan.
Pendekatan ini
adalah pendekatan pendidikan dilakukan oleh Nabi s.a.w kepada mereka yang sudah
menerima lslam, kerana didikan yang kukuh akan menjadikan mereka tidak mudah
dipengaruhi oleh pihak musuh. Dengan wujudnya sahsiah yang mantap, ia boleh
mempengaruhi orang luar untuk mengikuti jejak mereka. Di sinilah letaknya
kepentingan manhaj pendidikan ini bagi membangun manusia contoh yang boleh
mempengaruhi orang luar menerima lslam secara mudah dan senang hati.
Antara usaha
dakwah yang dilakukan oleh Rasullullah SAW ialah:
1. Membina
masjid
Pembinaan masjid
sebagai perkara pertama yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan di Yathrib jelas
menggambarkan kepentingan institusi masjid tersebut dalam menegakkan syiar
Islam yang selama ini diperangi. Ia boleh berperanan besar dalam menyatukan
akidah umat Islam. Pembinaan masjid juga membuktikan bahawa seluruh ibadat
dalam Islam adalah menjurus kepada pembersihan jiwa, pemurnian akhlak,
pengukuhan ikatan antara sesama Islam terutamanya dalam hal bantu-membantu dan
ketakwaan.
Rasulullah SAW
memerintahkan para sahabat membangun Masjid.Rasulullah SAW menjadikan masjid
tidak hanya sebagai tempat solat melainkan juga sebagai tempat berkumpul,
bermusyawarah, membina ukhuwah dan aqidah Islam serta mengatur berbagai
persoalan kaum muslimin sekaligus memutuskan hukum di antara mereka.
Masjid yang
didirikan di Yathrib asalnya adalah tempat menjemur kurma yang
dimiliki oleh dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhayl. Pembinaan masjid
ini turut menyaksikan penglibatan Nabi Muhammad s.a.w apabila baginda
bersama-sama mengangkut labin (Batu-bata) yang digunakan untuk membina bangunan
masjid. Atap masjid pula dibuat daripada daun pelepah tamar dan tiangnya dari
pelepah tamar yang keras.
Masjid ini menjadi
pusat kepada segala aktiviti umat lslam pada masa itu. Masjid yang di bina
telah dijadikan sebagai pusat pengajian lslam yang dipimpin secara langsung
oleh Nabi s.a.w yang diberi nama al-Suffah.
Al-Suffah ketika
itu menjadi Pusat Dakwah dibina dengan tujuan untuk melatih para pendakwah yang
nantinya akan menjadi mujahid dakwah di pelbagai kawasan yang telah menerima
lslam. Nabi s.a.w sendiri sebagai tenaga pengajarnya. di samping itu di bantu
oleh sahabat-sahabat yang dianggap lebih senior yang juga mendapat pendidikan
secara langsung dari Nabi s.a.w. Di antara mereka yang menjadi pembantu Nabi
s.a.w sebagai tenaga pengajar ialah Abdullah bin Said bin al-As, Ubaidah bin
Samit, Ubaydah bin Kaab dan lain-lain. Bahkan di antara pengajarnya adalah
tawanan Perang Badr yang mempunyai kepakaran tertentu yang dijadikannya sebagai
tebusan.
Kesungguhan Nabi
Muhammad s.a.w membina masjid ini bukan semata-mata ingin mewujudkan satu
tempat yang khusus untuk ibadat sahaja. Sebenarnya masjid ini juga turut
dijadikan sebagai tempat umat Islam menerima ajaran Islam, tempat pertemuan
umat Islam, tempat mengatur urusan pentadbiran, tempat tinggal golongan yang
tidak mampu, tempat membincangkan strategi peperangan, tempat bermesyuarat dan
tempat menerima perwakilan asing.
2.
Mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar
Aktiviti
selanjutnya yang dilakukan Rasulullah SAW adalah mempersaudarakan antara kaum
Anshar dan Muhajirin. Persaudaraan yang digambarkan oleh Rasulullah SAW ibarat
satu tubuh. Bila salah satu anggota tubuh ditimpa kesakitan maka seluruh
tubuhnya merasakan sakit. Persaudaraan yang mendarah daging mengalir dalam
tubuh setiap umat sehingga lenyap sama sekali segala bentuk fanatik golongan,
suku bangsa dan perkauman.
Nabi Muhammad
s.a.w memandang penting aspek persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan
golongan Ansar. Ia merupakan satu manifestasi keadilan Islam dari segi akhlak
kemanusiaan. Satu hal yang perlu dilihat di sini ialah Muhajirin menghadapi
masalah persoalan ekonomi dan sosial. Mereka tiba di Madinah tanpa memiliki
apa-apa harta. Penghijrahan golongan Muhajirin boleh melibatkan diri dalam
kegiatan ekonomi di Yathrib. Namun ia agak susah untuk dilakukan memandangkan
kegiatan ekonomi di Yathrib lebih berasaskan pertanian dan penternakan. Ini
jelas sekali berbeza dengan kegiatan ekonomi mereka di Makkah sebelum ini yang
lebih tertumpu pada kegiatan perdagangan. Nabi Muhammad s.a.w sedar bahawa
keadaan golongan Muhajirin ini boleh dibantu oleh golongan Ansar yang kaya
dengan hasil pertanian, harta dan pertukangan mereka.
Sorotan ke atas
sirah Nabi Muhammad s.a.w membuktikan bahawa golongan Ansar benar-benar
memperlihatkan contoh pengorbanan yang amat mulia. Antara bentuk pengorbanan
dan bantuan Ansar ialah mereka mencadangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w agar
membahagikan pokok kurma mereka kepada golongan Muhajirin. Namun Nabi Muhammad
s.a.w menyarankan agar pokok kurma itu diusahakan oleh golongan Ansar dan
mereka boleh membahagikan hasilnya kepada golongan Muhajirin. Alasan yang Nabi
Muhammad s.a.w berikan ialah tenaga golongan Muhajirin lebih diperlukan untuk
dakwah dan jihad.
Golongan Ansar ini
juga dikatakan sanggup menawarkan salah seorang isteri mereka kepada golongan
Muhajirin. Ini berlaku antar Sa’d bin al-Rabi’ dari golongan Ansar dengan Abd
Rahman bin’Awf dari golongan Muhajirin. Sa’d dilaporkan mempunyai dua orang
isteri dan beliau menawarkan salah seorang dari isterinya kepada Abd Rahman bin
‘Awf dan Abd Rahman bin ‘Awf sendiri membuat pilihan yang mana satu lebih
disukainya. Walaupun golongan Ansar ternyata menawarkan bantuan yang tidak
bernilai harganya, ini tidak bermakna golongan Muhajirin tidak berusaha
langsung.
Menurut catatan
Ibn Sa’d dan al-Baladhuri persaudaraan ini terjalin antara 90 orang iaitu 45
dari golongan Muhajirin dan 45 dari golongan Ansar. Persaudaraan ini memberi
hak untuk tolong-menolong antara kedua-dua golongan. Sebagai contoh, dalam
menyelesaikan masalah kehidupan sama ada pertolongan berbentuk kebendaan atau
nasihat sehingga membenarkan mereka saling mewarisi harta walaupun tidak
mempunyai hubungan kekeluargaan. Namun hak perwarisan harta terbatal dengan
turunnya ayat 75 surah al-Anfal. Walau bagaimanapun, Ibn ‘Abbas melaporkan
bahawa hak dalam bentuk bantuan, pertolongan dan nasihat masih kekal.
Persaudaraan dengan ikatan Aqidah Islamiah ini semakin bertambah kukuh setelah
dinaungi sebuah Daulah dibawah kepimpinan Rasulullah SAW yang menerapkan Sistem
Islam.
3. Sahifah
Madinah (Piagam Madinah)
Setelah Islam
datang dan terbentuk masyarakat Islam di Madinah, gambaran dan pola hubungan
antara masyarakat Yahudi dan Islam semakin tampak perbezaannya. Oleh kerana itu
harus ada kebijaksanaan hukum yang mengatur hubungan mereka dengan kaum
muslimin.
Rasulullah SAW
kemudian membuat perjanjian (piagam Madinah). Istilah sekarang disebut
Undang-Undang Dasar yang berfungsi sebagai suatu manhaj (jalan atau strategi
pengamanan) dalam mengatur atau membuat batasan-batasan yang menyangkut
interaksi antara kabilah-kabilah Yahudi dan kaum muslimin. Lebih dari itu isi
perjajian mencakup pula hubungan negara dengan masyarakat atau masyarakat
dengan negara.
Piagam Madinah ini
mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama meliputi fasal 1 hingga fasal 23
yang menggariskan peraturan mengenai golongan Muhajirin dan Ansar. Manakala
bahagian kedua pula meliputi fasal 24 hingga 47 membincangkan hak dan
tanggungjawab kabilah Yahudi di Madinah. Secara umumnya, piagam ini mengandungi
prinsip-prinsip berikut:
a. Piagam itu
tertulis. Justeru itu, ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama dalam
sejarah dunia.
b. Piagam itu
adalah satu perjanjian masyarakat antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar.
c. Pembentukan
ummah yang ditegaskan dalam fasal 1 bertujuan untuk membentuk satu masyarakat
baru dalam negara Islam yang baru didirikan. Kepentingan prinsip ini begitu
ketara kerana ia menghimpunkan antara golongan Muslim dengan golongan Yahudi
dan golongan-golongan lain di dalam masyarakat baru sebagai warganegaranya.
Masyarakat baru ini adalah masyarakat yang mempunyai undang-undang yang
hidupnya teratur diasuh jiwa raganya serta yang diatur langkah dan cara pergaulannya.
d. Cita-cita
kenegaraan yang terdapat dalam bahagian awal Piagam Madinah jelas menggambarkan
ideologi Islam dalam membentuk sesebuah negara.
e. Pengakuan hak
asasi manusia meliputi pengakuan tentang cara hidup, adat istiadat dan
kebebasan mereka. Ini jelas digambarkan dalam fasal 2 hingga 10. Begitu juga
dengan hak-hak politik seperti yang terkandung dalam fasal 16 hingga 23.
f. Disiplin dan
semangat setia kawan dianjurkan seperti yang terdapat dalam fasal 11 hingga 15.
g. Pengakuan
tentang hak-hak minoriti golongan Yahudi seperti dalam fasal 25 hingga 35.
h. Pengakuan
adanya pemimpin negara yang harus dipatuhi segala perintahnya. Beliau
bertanggungjawab menentukan haluan politik negara dan beliau juga menjadi
tempat merujuk segala persoalan. Ini jelas disebut dalam fasal 36 dan fasal 42.
Prinsip ini secara tidak langsung menegaskan kewujudan seorang penguasa negara
yang mewakili seluruh umat iaitu Nabi Muhammad s.a.w
i. Kewajipan
mempertahankan negara seperti yang ditegaskan dalam fasal 39.
j. Politik
perdamaian dijadikan sebagai haluan negara yang dipegang teguh seperti yang
terkandung dalam fasal 45.
4. Strategi
Politik dan Militeri (ketenteraan)
Dalam rangka
menyebarkan dakwah Islam ke luar negeri Madinah, sekaligus mengumumkan kepada
bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain mengenai berdirinya Daulah Islamiah, maka
diambil beberapa langkah lanjutan sebagai berikut:
· Mengirim
surat (mengajak kepada Islam (dakwah Islam), jika tidak mahu menerima Islam
sebagai agama, mestilah patuh dengan hukum Islam di bawah Daulah Islam)kepada
kepala-kepala negara/ kerajaan, pimpinan kabilah/suku yang ada di sekitar
jazirah Arab.
· Memaklumkan
perang kepada orang-orang yang menetang dakwah Islam.
· Memerangi
kabilah-kabilah yang mengkhianati perjanjian perdamaian bersama kaum muslimin.
· Menjadikan
Daulah Islamiah sebagai satu kekuatan yang disegani dan ditakuti lawan-lawannya.
Baginda s.a.w
bukan sahaja berdakwah dengan menggunakan ucapan, bahkan baginda s.a.w
menyampaikan mesej dakwah dengan tulisan yang ditulis oleh para sahabatnya.
Kebanyakan surat-surat baginda s.a.w dapat dibahagikan kepada tiga bahagian
utama iaitu :
a. Seruan
yang berisi seruan dan ajakan untuk memeluk Islam. Surat seperti ini biasanya
baginda s.a.w tujukan kepada non-muslim seperti orang Yahudi, Kristian, Majusi
dan Musyrikin.
b. Surat
yang berisi ajaran Islam yang berkaitan dengan panduan yang diperlukan oleh
masyarakat Islam. Biasanya surat ini ditujukan kepada orang Islam yang ingin
mengetahui sesuatu perkara dalam Islam.
c. Surat
yang berisi panduan Islam bagi non-muslim yang berada di bawah pemerintah Islam.
Ia khu
sus untuk mereka
yang ingin berdamai dengan umat Islam.
Kebanyakan surat
yang dihantar oleh baginda s.a.w kepada pemimpin-pemimpin negara lain untuk
menyeru mereka kepada Islam. Sebagai contoh baginda s.a.w telah menghantar para
utusannya kepada raja-raja yang berjiran seperti Habsyah, Mesir, Parsi dan
Rome. Menurut Abd Ghafar Aziz (1983) baginda mempunyai 42 orang kakitangan yang
bertanggungjawab menyediakan surat serta menterjemahkannya, termasuk Abu Bakar,
Umar, Uthman, Ali, Muawiyah, Ibn ‘As, Khalid bin Walid dan lain-lain.
Pemindahan maklumat dari datu generasi ke generasi yang lain banyak
dimanfaatkan dengan kaedah tulisan ini dalam penyebaran dakwah Islamiah.
Ia merujuk kepada
pengiriman mujahid dakwah ke pelbagai daerah di luar tempat Nabi s.a.w
bermastautin. Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan tarbiah Nabi s.a.w bagi
mempersiapkan para da’i yang profesional yang telah menjalani latihan yang
dibimbing oleh Nabi s.a.w secara langsung.
Pada tahun 4
Hijrah, Nabi s.a.w telah menghantar tenaga ke negeri Najd di atas permintaan
seorang penduduknya yang bernama Amir bin Malik. Para pendakwah seramai tujuh
puluh orang sahabat yang dihantar itu diketuai oleh al-Mundhir bin Amr.
Walaupun misi dakwah itu menghadapi cabaran hebat dari penguasa Negeri itu,
iaitu Amir Bin Tufayl, yang akhirnya mencetuskan tragedi yang dikenali sebagai
Bir Maunah dengan pembunuhan tenaga dai yang dihantar itu. Yang masih hidup
hanyalah seorang iaitu Amr bin Umayyah yang segera menyampaikan peristiwa itu
kepada Nabi s.a.w. Dengan sebab itulah Nabi s.a.w melakukan doa qunut nazilah
selama sebulan bagi mengutuk perbuatan keji itu.
Pada tahun ke-7
Hijrah Nabi s.a.w menghantar sejumlah pendakwah ke Khaibar, di utara Madinah,
yang dipimpin oleh Ali bin Abi Talib. Wasiat Nabi s.a.w kepada misi dakwah ini
adalah :
Jalankanlah tugas
mulia dengan penuh ketenangan dan bertanggungjawab. Apabila kamu sampai di
halaman rumah mereka, ajaklah mereka masuk lslam, beritahulah mereka tentang
tanggungjawab yang mesti dikerjakan . Demi Allah, usaha yang menyebabkan Allah
membuka pintu hidayah kepada seorang sahaja, lebih baik bagi kamu daripada
memiliki unta yang berwarna merah.
Nabi s.a.w juga
telah menghantar sahabat-sahabat ke Yaman. Di antara sahabat yang di hantar
dalam misi dakwah ini ialah Abu Musa al-Asyari, Muadh bin Jabal, Ali bin Abi
Talib, Khalid bin al-Walid, al-Barra’ bin Azib. Mengikut keterangan al-Barra’
bahawa beliau bersama Khalid bin Walid dan lain-lain sahabat telah dihantar
oleh Nabi s.a.w untuk berdakwah ke Yaman. Mereka telah menjalankan aktiviti
dakwah di Yaman selama enam bulan, tetapi tiada seorang pun yang masuk lslam.
Kemudian Nabi s.a.w mengirim Ali bin Abi Talib, ketika Ali bin Abi Talib
bersamanya, mereka telah mendatangi kabilah Hamdan dan berjaya memasukkan
mereka dalam lslam. Setelah berita ini sampai kepada Nabi s.a.w melalui surat
Ali bin Abi Talib. Nabi pun terus bersujud syukur dan setelah bangun Nabi s.a.w
mengucapkan : al-Salam ‘ala Hamdan, al-Salam ‘ala Hamdan’ .
Nabi s.a.w pernah
dikunjungi oleh warga Najran yang beragama Kristian, mereka telah memohon
kepada Nabi s.a.w agar dikirimkan pendakwah yang amanah yang boleh mengajar
tentang lslam. Nabi pun memanggil Abu Ubaaydah bin al-Jarrah untuk dikirim ke
sana bagi tujuan dakwah. Demikian juga Khalid bin Walid pada tahun 10 Hijrah
pernah dikirim ke Yaman untuk berdakwah dan berjaya mengislamkan semua warga
kabilah Bani Harth di sana.
Setelah Makkah
dibebaskan dari kuasa kaum Musrikin pada tahun 8 Hijrah. Nabi s.a.w telah
menghantar Muadh bin Jabal sebagai pendakwah tetap di Mekah bagi mengajak
mereka yang belum lslam untuk masuk lslam dan mengajar al-Quran dan ajaran
lslam kepada mereka yang sudah masuk lslam.
Metod Jihad ini
sangat berkesan terutamanya memberi tarikan kepada orang bukan lslam tentang
lslam. Kemenangan orang lslam dalam peperangan Badar, merupakan satu pengumuman
yang jelas kepada umum tentang agama yang baru dan suatu deklarasi Ilahi yang
meluas tentang nabi terakhir. Ia juga memberitahu kepada orang bukan lslam
bahawa mereka tidak mungkin mengalahkan agama yang baru ini dan rasulnya dengan
cara-cara yang telah dilakukan itu. Kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh
orang-orang lslam dalam peperangan-peperangan dengan orang bukan lslam
mempunyai kesan yang besar untuk membawa orang-orang bukan lslam masuk lslam.
Langkah mewajibkan
jihad perang untuk melahirkan kekuatan masyarakat lslam. Jihad perang dalam
lslam mempunyai cara dan matlamat yang tersendiri. Ia berbeza dengan peperangan
yang berlaku di dalam tamadun-tamadun yang lain. Tujuan di sebaliknya adalah
untuk menghapuskan kezaliman, ia adalah untuk tujuan dakwah, kerana ia satu
cara dakwah,sebagaimana penjelasan Allah dalam surah al-Haj ayat 39-40,
Maksudnya:
Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh),
kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa
untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).(39) Iaitu mereka Yang diusir dari
kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (Mereka
diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah".
dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan
setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta
gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan
juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak
padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya
(agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;(40)
Keadaan tersebut
dapat dilihat pada peperangan yang berlaku di antara orang lslam dengan orang
yang bukan lslam selepas Hijrah Nabi sehingga membawa kepada Pembukaan Mekah.
Dengan sebab wujudnya kekuatan di pihak orang lslam yang selalunya menang dalam
peperangan yang diharunginya, orang-orang Arab diseluruh Semenanjung Tanah arab
mengakui kekuatan orang lslam dan kelemahan mereka. Dengan pengakuan ini,
mereka mengiktiraf lslam dan memeluknya beramai-ramai.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya dapat dijelaskan di sini bahawa
dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah adalah cetusan dari baginda yang
merupakan perintis kepada ilmu dakwah berdasarkan keperluan pada zaman itu. Ini
kerana di Madinah mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri dari beberapa etnik
dan kabilah yang selalu berbalah antara satu sama lain. Akan tetapi, tidak
menjadi masalah kepada para pendakwah untuk menggunakan manhaj-manhaj dakwah
Nabi Muhammad s.a.w dalam konteks masa kini. Perlu diingatkan bahawa cabaran
pada masa kini lebih hebat berdasarkan apa yang telah dinyatakan. Para
pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan segala ilmu, manhaj-manhaj dan medium
yang ingin digunakan untuk meneruskan apa yang telah Nabi Muhammad s.a.w
ajarkan kepada kita.