Wednesday, October 31, 2018

MODEL PENGURUSAN DAKWAH DI ZAMAN RASULULLAH S.A.W SEBELUM DAN SELEPAS HIJRAH



PENGURUSAN DAKWAH


Menerusi definisi dan konsep pengurusan dakwah yang dikemukakan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa pengurusan dakwah di zaman Rasulullah dilihat sebagai medan terbaik untuk dijadikan contoh dan landasan utama dalam meneliti dan menilai tentang definisi pengurusan dakwah tersebut. Dalam konteks yang lebih luas lagi, pengurusan dakwah ini jika diaplikasikan dalam pengurusan dan pentadbiran intitusi dakwah, seharusnya ia mempunyai elemen-elemen utama dalam pengurusan agar usaha dan gerak kerja dakwah tersebut akan terancang seterusnya dapat mencapai matlamat dakwah itu sendiri.

Dalam meneliti pengertian pengurusan dakwah ini, perlu dijelaskan bahawa pengurusan ini mempunyai beberapa perkara utama yang perlu diberi perhatian dengan melihat kepada pengurusan dakwah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah. Pengurusan dakwah yang berlaku pada zaman Rasulullah telah melalui dua zaman yang berlainan sebagaimana yang termaktub dalam sejarah Islam. Zaman pertama ialah pada zaman Mekkah dan zaman kedua pula ialah zaman Madinah yang mana ia sebagai bukti kepada wujudnya unsur perancangan dalam dakwah. Lebih jelas lagi, perancangan dakwah ini telah melalui lima fasa perkembangan dakwah tersebut iaitu;- 


i. Fasa berdakwah dan bergerak secara sulit / rahsia
ii. Fasa berdakwah secara terbuka tetapi berorganisasi secara rahsia.
iii. Fasa menubuhkan kerajaan Islam.
iv. Fasa memantapkan pemangkin kerajaan Islam.
v. Fasa untuk memperkasakan dakwah ke seluruh pelusuk dunia.

Fasa-fasa tersebut telah memperlihatkan bahawa pada zaman Rasulullah sudah wujud unsur pengurusan dakwah apabila baginda telah menyusun langkahlangkah dengan mewujudkan fasa-fasa dakwah tersebut.


DAKWAH RASULULLAH S.A.W SEBELUM DAN SELEPAS HIJRAH

Ada dua tahap dakwah yang dilakukan Muhammad. Pertama, dakwah secara diam-diam selama 3 tahun. Keluarga dan sahabat Nabi yang masuk Islam pada tahap ini antara lain Khadijah, Abu Bakar as-Siddiq, dan Ali bin Abi Talib. Kedua, dakwah secara terang-terangan, yang dilakukan Nabi setelah turun perintah Allah (Q.15:94). Dakwah ini berlangsung hingga Nabi wafat. Banyak sahabat yang memeluk Islam pada masa ini, antara lain Umar bin Khattab dan Usman bin Affan.

Manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah bertujuan untuk membina keyakinan dengan apa yang akan baginda sampaikan. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul utusan Allah (SWT) yang akan membawa masyarakat Madinah ke jalan yang benar melalui pendekatan-pendekatan seperti yang dinyatakan.


  • Manhaj Tarbiyyah
Pendekatan ini adalah pendekatan pendidikan dilakukan oleh Nabi s.a.w kepada mereka yang sudah menerima lslam, kerana didikan yang kukuh akan menjadikan mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pihak musuh. Dengan wujudnya sahsiah yang mantap, ia boleh mempengaruhi orang luar untuk mengikuti jejak mereka. Di sinilah letaknya kepentingan manhaj pendidikan ini bagi membangun manusia contoh yang boleh mempengaruhi orang luar menerima lslam secara mudah dan senang hati.

Antara usaha dakwah yang dilakukan oleh Rasullullah SAW ialah:

1. Membina masjid

Pembinaan masjid sebagai perkara pertama yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan di Yathrib jelas menggambarkan kepentingan institusi masjid tersebut dalam menegakkan syiar Islam yang selama ini diperangi. Ia boleh berperanan besar dalam menyatukan akidah umat Islam. Pembinaan masjid juga membuktikan bahawa seluruh ibadat dalam Islam adalah menjurus kepada pembersihan jiwa, pemurnian akhlak, pengukuhan ikatan antara sesama Islam terutamanya dalam hal bantu-membantu dan ketakwaan.
Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membangun Masjid.Rasulullah SAW menjadikan masjid tidak hanya sebagai tempat solat melainkan juga sebagai tempat berkumpul, bermusyawarah, membina ukhuwah dan aqidah Islam serta mengatur berbagai persoalan kaum muslimin sekaligus memutuskan hukum di antara mereka.

Masjid yang didirikan di Yathrib asalnya adalah tempat menjemur kurma yang dimiliki oleh dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhayl. Pembinaan masjid ini turut menyaksikan penglibatan Nabi Muhammad s.a.w apabila baginda bersama-sama mengangkut labin (Batu-bata) yang digunakan untuk membina bangunan masjid. Atap masjid pula dibuat daripada daun pelepah tamar dan tiangnya dari pelepah tamar yang keras.

Masjid ini menjadi pusat kepada segala aktiviti umat lslam pada masa itu. Masjid yang di bina telah dijadikan sebagai pusat pengajian lslam yang dipimpin secara langsung oleh Nabi s.a.w yang diberi nama al-Suffah.
Al-Suffah ketika itu menjadi Pusat Dakwah dibina dengan tujuan untuk melatih para pendakwah yang nantinya akan menjadi mujahid dakwah di pelbagai kawasan yang telah menerima lslam. Nabi s.a.w sendiri sebagai tenaga pengajarnya. di samping itu di bantu oleh sahabat-sahabat yang dianggap lebih senior yang juga mendapat pendidikan secara langsung dari Nabi s.a.w. Di antara mereka yang menjadi pembantu Nabi s.a.w sebagai tenaga pengajar ialah Abdullah bin Said bin al-As, Ubaidah bin Samit, Ubaydah bin Kaab dan lain-lain. Bahkan di antara pengajarnya adalah tawanan Perang Badr yang mempunyai kepakaran tertentu yang dijadikannya sebagai tebusan.

Kesungguhan Nabi Muhammad s.a.w membina masjid ini bukan semata-mata ingin mewujudkan satu tempat yang khusus untuk ibadat sahaja. Sebenarnya masjid ini juga turut dijadikan sebagai tempat umat Islam menerima ajaran Islam, tempat pertemuan umat Islam, tempat mengatur urusan pentadbiran, tempat tinggal golongan yang tidak mampu, tempat membincangkan strategi peperangan, tempat bermesyuarat dan tempat menerima perwakilan asing.

2. Mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar

Aktiviti selanjutnya yang dilakukan Rasulullah SAW adalah mempersaudarakan antara kaum Anshar dan Muhajirin. Persaudaraan yang digambarkan oleh Rasulullah SAW ibarat satu tubuh. Bila salah satu anggota tubuh ditimpa kesakitan maka seluruh tubuhnya merasakan sakit. Persaudaraan yang mendarah daging mengalir dalam tubuh setiap umat sehingga lenyap sama sekali segala bentuk fanatik golongan, suku bangsa dan perkauman.

Nabi Muhammad s.a.w memandang penting aspek persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Ia merupakan satu manifestasi keadilan Islam dari segi akhlak kemanusiaan. Satu hal yang perlu dilihat di sini ialah Muhajirin menghadapi masalah persoalan ekonomi dan sosial. Mereka tiba di Madinah tanpa memiliki apa-apa harta. Penghijrahan golongan Muhajirin boleh melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Yathrib. Namun ia agak susah untuk dilakukan memandangkan kegiatan ekonomi di Yathrib lebih berasaskan pertanian dan penternakan. Ini jelas sekali berbeza dengan kegiatan ekonomi mereka di Makkah sebelum ini yang lebih tertumpu pada kegiatan perdagangan. Nabi Muhammad s.a.w sedar bahawa keadaan golongan Muhajirin ini boleh dibantu oleh golongan Ansar yang kaya dengan hasil pertanian, harta dan pertukangan mereka.

Sorotan ke atas sirah Nabi Muhammad s.a.w membuktikan bahawa golongan Ansar benar-benar memperlihatkan contoh pengorbanan yang amat mulia. Antara bentuk pengorbanan dan bantuan Ansar ialah mereka mencadangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w agar membahagikan pokok kurma mereka kepada golongan Muhajirin. Namun Nabi Muhammad s.a.w menyarankan agar pokok kurma itu diusahakan oleh golongan Ansar dan mereka boleh membahagikan hasilnya kepada golongan Muhajirin. Alasan yang Nabi Muhammad s.a.w berikan ialah tenaga golongan Muhajirin lebih diperlukan untuk dakwah dan jihad.

Golongan Ansar ini juga dikatakan sanggup menawarkan salah seorang isteri mereka kepada golongan Muhajirin. Ini berlaku antar Sa’d bin al-Rabi’ dari golongan Ansar dengan Abd Rahman bin’Awf dari golongan Muhajirin. Sa’d dilaporkan mempunyai dua orang isteri dan beliau menawarkan salah seorang dari isterinya kepada Abd Rahman bin ‘Awf dan Abd Rahman bin ‘Awf sendiri membuat pilihan yang mana satu lebih disukainya. Walaupun golongan Ansar ternyata menawarkan bantuan yang tidak bernilai harganya, ini tidak bermakna golongan Muhajirin tidak berusaha langsung.

Menurut catatan Ibn Sa’d dan al-Baladhuri persaudaraan ini terjalin antara 90 orang iaitu 45 dari golongan Muhajirin dan 45 dari golongan Ansar. Persaudaraan ini memberi hak untuk tolong-menolong antara kedua-dua golongan. Sebagai contoh, dalam menyelesaikan masalah kehidupan sama ada pertolongan berbentuk kebendaan atau nasihat sehingga membenarkan mereka saling mewarisi harta walaupun tidak mempunyai hubungan kekeluargaan. Namun hak perwarisan harta terbatal dengan turunnya ayat 75 surah al-Anfal. Walau bagaimanapun, Ibn ‘Abbas melaporkan bahawa hak dalam bentuk bantuan, pertolongan dan nasihat masih kekal. Persaudaraan dengan ikatan Aqidah Islamiah ini semakin bertambah kukuh setelah dinaungi sebuah Daulah dibawah kepimpinan Rasulullah SAW yang menerapkan Sistem Islam.


3. Sahifah Madinah (Piagam Madinah)

Setelah Islam datang dan terbentuk masyarakat Islam di Madinah, gambaran dan pola hubungan antara masyarakat Yahudi dan Islam semakin tampak perbezaannya. Oleh kerana itu harus ada kebijaksanaan hukum yang mengatur hubungan mereka dengan kaum muslimin.

Rasulullah SAW kemudian membuat perjanjian (piagam Madinah). Istilah sekarang disebut Undang-Undang Dasar yang berfungsi sebagai suatu manhaj (jalan atau strategi pengamanan) dalam mengatur atau membuat batasan-batasan yang menyangkut interaksi antara kabilah-kabilah Yahudi dan kaum muslimin. Lebih dari itu isi perjajian mencakup pula hubungan negara dengan masyarakat atau masyarakat dengan negara.

Piagam Madinah ini mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama meliputi fasal 1 hingga fasal 23 yang menggariskan peraturan mengenai golongan Muhajirin dan Ansar. Manakala bahagian kedua pula meliputi fasal 24 hingga 47 membincangkan hak dan tanggungjawab kabilah Yahudi di Madinah. Secara umumnya, piagam ini mengandungi prinsip-prinsip berikut:

a. Piagam itu tertulis. Justeru itu, ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah dunia.

b. Piagam itu adalah satu perjanjian masyarakat antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar.

c. Pembentukan ummah yang ditegaskan dalam fasal 1 bertujuan untuk membentuk satu masyarakat baru dalam negara Islam yang baru didirikan. Kepentingan prinsip ini begitu ketara kerana ia menghimpunkan antara golongan Muslim dengan golongan Yahudi dan golongan-golongan lain di dalam masyarakat baru sebagai warganegaranya. Masyarakat baru ini adalah masyarakat yang mempunyai undang-undang yang hidupnya teratur diasuh jiwa raganya serta yang diatur langkah dan cara pergaulannya.

d. Cita-cita kenegaraan yang terdapat dalam bahagian awal Piagam Madinah jelas menggambarkan ideologi Islam dalam membentuk sesebuah negara.

e. Pengakuan hak asasi manusia meliputi pengakuan tentang cara hidup, adat istiadat dan kebebasan mereka. Ini jelas digambarkan dalam fasal 2 hingga 10. Begitu juga dengan hak-hak politik seperti yang terkandung dalam fasal 16 hingga 23.

f. Disiplin dan semangat setia kawan dianjurkan seperti yang terdapat dalam fasal 11 hingga 15.

g. Pengakuan tentang hak-hak minoriti golongan Yahudi seperti dalam fasal 25 hingga 35.

h. Pengakuan adanya pemimpin negara yang harus dipatuhi segala perintahnya. Beliau bertanggungjawab menentukan haluan politik negara dan beliau juga menjadi tempat merujuk segala persoalan. Ini jelas disebut dalam fasal 36 dan fasal 42. Prinsip ini secara tidak langsung menegaskan kewujudan seorang penguasa negara yang mewakili seluruh umat iaitu Nabi Muhammad s.a.w

i. Kewajipan mempertahankan negara seperti yang ditegaskan dalam fasal 39.

j. Politik perdamaian dijadikan sebagai haluan negara yang dipegang teguh seperti yang terkandung dalam fasal 45.

4. Strategi Politik dan Militeri (ketenteraan)

Dalam rangka menyebarkan dakwah Islam ke luar negeri Madinah, sekaligus mengumumkan kepada bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain mengenai berdirinya Daulah Islamiah, maka diambil beberapa langkah lanjutan sebagai berikut:

·         Mengirim surat (mengajak kepada Islam (dakwah Islam), jika tidak mahu menerima Islam sebagai agama, mestilah patuh dengan hukum Islam di bawah Daulah Islam)kepada kepala-kepala negara/ kerajaan, pimpinan kabilah/suku yang ada di sekitar jazirah Arab.
·         Memaklumkan perang kepada orang-orang yang menetang dakwah Islam.
·         Memerangi kabilah-kabilah yang mengkhianati perjanjian perdamaian bersama kaum muslimin.
·         Menjadikan Daulah Islamiah sebagai satu kekuatan yang disegani dan ditakuti lawan-lawannya.


  •  Manhaj al-Mursalah
Baginda s.a.w bukan sahaja berdakwah dengan menggunakan ucapan, bahkan baginda s.a.w menyampaikan mesej dakwah dengan tulisan yang ditulis oleh para sahabatnya. Kebanyakan surat-surat baginda s.a.w dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu :

a.  Seruan yang berisi seruan dan ajakan untuk memeluk Islam. Surat seperti ini biasanya baginda s.a.w tujukan kepada non-muslim seperti orang Yahudi, Kristian, Majusi dan Musyrikin.

b.  Surat yang berisi ajaran Islam yang berkaitan dengan panduan yang diperlukan oleh masyarakat Islam. Biasanya surat ini ditujukan kepada orang Islam yang ingin mengetahui sesuatu perkara dalam Islam.

c.  Surat yang berisi panduan Islam bagi non-muslim yang berada di bawah pemerintah Islam. Ia khu
sus untuk mereka yang ingin berdamai dengan umat Islam.

Kebanyakan surat yang dihantar oleh baginda s.a.w kepada pemimpin-pemimpin negara lain untuk menyeru mereka kepada Islam. Sebagai contoh baginda s.a.w telah menghantar para utusannya kepada raja-raja yang berjiran seperti Habsyah, Mesir, Parsi dan Rome. Menurut Abd Ghafar Aziz (1983) baginda mempunyai 42 orang kakitangan yang bertanggungjawab menyediakan surat serta menterjemahkannya, termasuk Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Muawiyah, Ibn ‘As, Khalid bin Walid dan lain-lain. Pemindahan maklumat dari datu generasi ke generasi yang lain banyak dimanfaatkan dengan kaedah tulisan ini dalam penyebaran dakwah Islamiah.


  • Manhaj al-Bi’thiyah
Ia merujuk kepada pengiriman mujahid dakwah ke pelbagai daerah di luar tempat Nabi s.a.w bermastautin. Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan tarbiah Nabi s.a.w bagi mempersiapkan para da’i yang profesional yang telah menjalani latihan yang dibimbing oleh Nabi s.a.w secara langsung.

Pada tahun 4 Hijrah, Nabi s.a.w telah menghantar tenaga ke negeri Najd di atas permintaan seorang penduduknya yang bernama Amir bin Malik. Para pendakwah seramai tujuh puluh orang sahabat yang dihantar itu diketuai oleh al-Mundhir bin Amr. Walaupun misi dakwah itu menghadapi cabaran hebat dari penguasa Negeri itu, iaitu Amir Bin Tufayl, yang akhirnya mencetuskan tragedi yang dikenali sebagai Bir Maunah dengan pembunuhan tenaga dai yang dihantar itu. Yang masih hidup hanyalah seorang iaitu Amr bin Umayyah yang segera menyampaikan peristiwa itu kepada Nabi s.a.w. Dengan sebab itulah Nabi s.a.w melakukan doa qunut nazilah selama sebulan bagi mengutuk perbuatan keji itu.

Pada tahun ke-7 Hijrah Nabi s.a.w menghantar sejumlah pendakwah ke Khaibar, di utara Madinah, yang dipimpin oleh Ali bin Abi Talib. Wasiat Nabi s.a.w kepada misi dakwah ini adalah :
Jalankanlah tugas mulia dengan penuh ketenangan dan bertanggungjawab. Apabila kamu sampai di halaman rumah mereka, ajaklah mereka masuk lslam, beritahulah mereka tentang tanggungjawab yang mesti dikerjakan . Demi Allah, usaha yang menyebabkan Allah membuka pintu hidayah kepada seorang sahaja, lebih baik bagi kamu daripada memiliki unta yang berwarna merah.

Nabi s.a.w juga telah menghantar sahabat-sahabat ke Yaman. Di antara sahabat yang di hantar dalam misi dakwah ini ialah Abu Musa al-Asyari, Muadh bin Jabal, Ali bin Abi Talib, Khalid bin al-Walid, al-Barra’ bin Azib. Mengikut keterangan al-Barra’ bahawa beliau bersama Khalid bin Walid dan lain-lain sahabat telah dihantar oleh Nabi s.a.w untuk berdakwah ke Yaman. Mereka telah menjalankan aktiviti dakwah di Yaman selama enam bulan, tetapi tiada seorang pun yang masuk lslam. Kemudian Nabi s.a.w mengirim Ali bin Abi Talib, ketika Ali bin Abi Talib bersamanya, mereka telah mendatangi kabilah Hamdan dan berjaya memasukkan mereka dalam lslam. Setelah berita ini sampai kepada Nabi s.a.w melalui surat Ali bin Abi Talib. Nabi pun terus bersujud syukur dan setelah bangun Nabi s.a.w mengucapkan : al-Salam ‘ala Hamdan, al-Salam ‘ala Hamdan’ .

Nabi s.a.w pernah dikunjungi oleh warga Najran yang beragama Kristian, mereka telah memohon kepada Nabi s.a.w agar dikirimkan pendakwah yang amanah yang boleh mengajar tentang lslam. Nabi pun memanggil Abu Ubaaydah bin al-Jarrah untuk dikirim ke sana bagi tujuan dakwah. Demikian juga Khalid bin Walid pada tahun 10 Hijrah pernah dikirim ke Yaman untuk berdakwah dan berjaya mengislamkan semua warga kabilah Bani Harth di sana.

Setelah Makkah dibebaskan dari kuasa kaum Musrikin pada tahun 8 Hijrah. Nabi s.a.w telah menghantar Muadh bin Jabal sebagai pendakwah tetap di Mekah bagi mengajak mereka yang belum lslam untuk masuk lslam dan mengajar al-Quran dan ajaran lslam kepada mereka yang sudah masuk lslam.

  • Manhaj Jihad


Metod Jihad ini sangat berkesan terutamanya memberi tarikan kepada orang bukan lslam tentang lslam. Kemenangan orang lslam dalam peperangan Badar, merupakan satu pengumuman yang jelas kepada umum tentang agama yang baru dan suatu deklarasi Ilahi yang meluas tentang nabi terakhir. Ia juga memberitahu kepada orang bukan lslam bahawa mereka tidak mungkin mengalahkan agama yang baru ini dan rasulnya dengan cara-cara yang telah dilakukan itu. Kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh orang-orang lslam dalam peperangan-peperangan dengan orang bukan lslam mempunyai kesan yang besar untuk membawa orang-orang bukan lslam masuk lslam.

Langkah mewajibkan jihad perang untuk melahirkan kekuatan masyarakat lslam. Jihad perang dalam lslam mempunyai cara dan matlamat yang tersendiri. Ia berbeza dengan peperangan yang berlaku di dalam tamadun-tamadun yang lain. Tujuan di sebaliknya adalah untuk menghapuskan kezaliman, ia adalah untuk tujuan dakwah, kerana ia satu cara dakwah,sebagaimana penjelasan Allah dalam surah al-Haj ayat 39-40, 


Maksudnya:
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).(39) Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;(40)

Keadaan tersebut dapat dilihat pada peperangan yang berlaku di antara orang lslam dengan orang yang bukan lslam selepas Hijrah Nabi sehingga membawa kepada Pembukaan Mekah. Dengan sebab wujudnya kekuatan di pihak orang lslam yang selalunya menang dalam peperangan yang diharunginya, orang-orang Arab diseluruh Semenanjung Tanah arab mengakui kekuatan orang lslam dan kelemahan mereka. Dengan pengakuan ini, mereka mengiktiraf lslam dan memeluknya beramai-ramai.


KESIMPULAN

 Secara keseluruhannya dapat dijelaskan di sini bahawa dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah adalah cetusan dari baginda yang merupakan perintis kepada ilmu dakwah berdasarkan keperluan pada zaman itu. Ini kerana di Madinah mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri dari beberapa etnik dan kabilah yang selalu berbalah antara satu sama lain. Akan tetapi, tidak menjadi masalah kepada para pendakwah untuk menggunakan manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w dalam konteks masa kini. Perlu diingatkan bahawa cabaran pada masa kini lebih hebat berdasarkan apa yang telah dinyatakan. Para pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan segala ilmu, manhaj-manhaj dan medium yang ingin digunakan untuk meneruskan apa yang telah Nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita.




No comments:

Post a Comment